Saturday, 18 May 2013

Belajar untuk Mendengar..

Dari sebuah buku yang saya baca, iaitu The Leader in You karya Dale Carnegie, ada satu topik yang ingin membuatkan saya berkongsi dengan teman-teman semua yang berjudul Belajar untuk Mendengar.

Ini adalah perkara yang biasa kita lupa mengamalkannya dalam hidup kita. Terdapat dua sebab penting mengapa kita perlu mendengar kata-kata orang lain. Pertama, kita dapat belajar perkara baru dan merasai pengalaman mereka. Kedua, orang lain memberi respons kepada mereka yang mendengar kata-kata mereka.

Ramai yang menyangka mendengar adalah satu tindakan yang pasif, manakala bercakap adalah tindakan aktif. Biasa kita dengar orang berkata, 'duduk dan dengar sahaja.' Ini merupakan satu salah faham yang besar. Mendengar sambil lewa memang tindakan pasif. Tetapi bagi mereka yang mendengar untuk memahami, ini adalah satu bentuk mendengar secara aktif.

Mendengar secara aktif memerlukan penglibatan lebih mendalam sewaktu berbual walaupun bibir tertutup rapat. Ini bukanlah tindakan yang mudah. Ia memerlukan perhatian yang cukup serius dan saling berbual. Ia mengajak kita bertanya dan bertanya, memberi respons, tindak balas yang segera, dan yang tepat.

Terdapat banyak cara untuk menunjukkan yang kita aktif mendengar ketika berbual. Ini tidak termasuk memotong cakap dan mencelah setiap kali dia bercakap. Caranya bukanlah sehingga kita menjadi pakar dalam semua teknik ini. Pendengar yang baik belajar beberapa teknik yang sesuai dengan personaliti mereka dan sentiasa ingat untuk mengaplikasikannya setiap kali. Teknik ini termasuklah anggukan kepala, 'ya', 'oh', 'benarkah?', 'begitukah', 'baru saya faham'. Ada yang gemar mengubah cara duduknya, ataupun merapatkan tempat duduk. Pada masa yang sesuai, senyum ataupun gelengkan kepala. Satu lagi cara termasuklah memandang matanya ketika berbual. Ini menunjukkan bahawa kita betul-betul sedang mendengar cakap mereka. Apabila dia berhenti bercakap, ajukan soalan yang berkaitan dengan kisah yang disampaikan.

Apa yang penting disini bukanlah dalam penggunaan teknik mendengar yang paling tepat. Kaedah yang disebutkan di sini tidak boleh digunakan tanpa perasaan. IA hanyalah garis panduan yang boleh diambil kira apabila masanya sesuai. Tindakan sebegini akan lebih menggembirakan orang yang bercakap dengan kita.

Mendengar adalah satu teknik terbaik bagi kita untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang lain. Ia adalah suatu tanda yang kita menganggap mereka seorang yang penting, Dan kita sendiri dapat belajar satu dua perkara daripada mereka.

No comments:

Post a Comment